Februari 18, 2014

Lawatan KKTM ke RSK



Alhamdulillah pada hari Jumaat, 14 Feb 2014 seramai 40 pelajar dari KKTM (Kolej Kemahiran Tinggi Mara) Kota Bharu bersama guru pengiring dan kaunselor mereka telah mengadakan lawatan ke RSK.

Sesi pengenalan kepada RSK dan ceramah Anda Bijak Jauhi Zina telah diadakan di Pejabat RSK. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Dr Dasmawati dan  dimulakan pada sebelah pagi. 
Program diteruskan dengan sesi ramah mesra dan  makan tengahari bersama-sama  pelatih. Manakala, di sebelah  petang telah diadakan gotong royong bersama-sama untuk memberi nafas baru ke kawasan keliling RSK. 

Alhamdulillah pelatih-pelatih amat menghargai kehadiran tetamu-tetamu dari KKTM. Semoga sesi perkongsian sehari ini membawa kebaikan kepada semua yang terlibat dalam menjayakannya. 
                                      
Jazakumullahu khair kepada team dari KKTM di atas kunjungan yang amat bermakna buat kami di RSK. InsyaAllah semoga bertemu lagi di dalam program yang lain pula. 

Terima kasih daun keladi, atas kunjungan yang bererti.  




Ogos 31, 2011

SYAWAL 1432 H DI RAUDHATUS SAKINAH KELANTAN







Alhamdulillah 1 Syawal 1342H disambut dengan penuh kesyukuran oleh penghuni Raudhatus Sakinah Kelantan. Seawal jam 4.30 pagi adik-adik pelatih telah bangun melakukan amalan solat malam bertahajud memohon keampunan dan keredhaan Allah yang Esa. Semoga amalan yang kita telah latih selama sebulan di bulan Ramadhan yang barakah dapat menjadi kelaziman kepada pelatih di sini. Setelah bangun solat maka bermulalah persiapan menyambut syawal. Amalan menyambut syawal sebagaimana yang disyariatkan Allah dan RasulNYa cuba diamalkan oleh pelatih di sini. Ini termasuklah mandi sunat Syawal, membanyakkan tasbih dan tahmid memuji-muji kebesaran dan kekuasaan Allah , menjamah makanan sebelum solat sunat Eidul fitri, solat sunat eidul fitri dan bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Majlis Solat Eidul Fitri disempurnakan bersama keluarga HJ Che Rahimi Samat dan Dr Hafidzah Mustakim. Mereka berdua merupakan Ahli Jawatankuasa Pengurusan RS Kelantan yang bertanggungjawab menjaga bahagian Latihan dan Pencegahan. Bersama lapan anak-anak mereka Rumah RS meriah menyambut syawal ini. Pembantu Warden Sdri Nija dan adik2 pelatih RS menyambut kehadiran mereka. Majlis solat diawali dengan bacaan takbir berulangkali yang dialunkan penuh syahdu tetapi bersemangat bersama pelatih RS. Sesuai dengan makna takbir yang memuji kebesaran Allah dan meyatakan izzah dan ketinggian diri muslim walaupun orang kafir membenci.

Seterusnya taklimat solat dilakukan oleh Hj Che Rahimi. Ini diikuti oleh Solat Eidul Fitri yang diimamkan oleh Sdra Muhammad Naim b Che Rahimi yang kini menuntut di Kolej Mara Banting. Selesai solat Khutbah Eidul Fitri disampaikan oleh Hj Che Rahimi. Antara lain beliau mengingatkan akan kepentingan kita berbalik kepada fitrah kita yang asal iaitu fitrah semulajadi manusia yang mahu tunduk kepada iman dan percaya kepada Allah SWT dan kerelaan untuk mengikuti ajaranNya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Jemaah solat diseru untuk mengambil kesempatan dan peluang berada di RaudhatusSakinah untuk memperbaiki diri dan tidak mengulangi kesilapan lampau. Sesungguhnya ganjaran yang disediakan oleh Allah untuk hamba-hambaNya yang bertaubat dan berbuat baik adalah syurga yang lebih luas dari langit dan bumi.

Selesai solat majlis diteruskan dengan majlis bermaaf-maafan . Hj Che Rahimi dan Dr Hafidzah bertindak selaku ibu dan ayah untuk para pelatih dan mereka bergilir-gilir bersalaman memohon kemaafan atas kesilapan mereka . Rata-rata semua pelatih dengan penuh sebak menyatakan kesediaan mereka untuk bertaubat dan berubah demi masa depan yang lebih baik. Hj Che Rahimi juga menyampaikan duit raya kepada setiap pelatih.

Akhirnya majlis disempurnakan dengan jamuan hari raya . Walaupun penuh sederhana majlis eidul fitri disambut meriah penuh kesyukuran oleh Warga RS Kelantan. Sebelum tetamu pagi syawal beredar kelihatan ada ibubapa pelatih telah tiba bersama juadah raya untuk dinikmati bersama anak mereka. Hmmm…memang tidak boleh dinafikan kasih ibubapa dan bapa yang sanggup berkorban apa sahaja untuk anak mereka…..Marilah sama-sama kita doakan agar pelatih RS di sini dapat istiqamah dan tetap dalam usaha perubahan mencari kebenaran mereka.

April 21, 2009

NOTIS PINDAH......

Atas sebab-sebab teknikal, kami telah berpindah ke http://rskelantan.blogspot.com/. Sila lawati kami di sini. Terima kasih.

April 15, 2009

TAHNIAH ! RS DAN DAKWAH DIGITAL

Salam
Tahniah diucapkan kepada Raudhatus Sakinah Kelantan (RSK) khusus kepada Dr Zaharah selaku pengerusi dan Pn Ilham selaku pengurus RSK yang telah memulakan lembaran baru bagi RSK untuk melangkah ke era baru dakwah digital.
Pengalaman kita mengendalikan rumah perlindungan dan bimbingan seperti RSK memberikan keinsafan kepada kita bahawa disamping usaha preskriptif atau pengubatan seperti bimbingan dan pemulihan remaja mestilah seiring malah digandakan usaha preventatif/pencegahan berbentuk program pendidikan. Sehubungan dengan ini RSK keluar kepada masyarakat dan menawarkan program berbentuk pencegahan. Antara program yang disediakan adalah
  1. Program mencetuskan kesedaran seperti Kempen Anda Bijak Jauhi Zina yang merupakan program separuh hari bertujuan memberikan kesedaran kepada remaja tentang kesihatan reproduksi mereka dan kepentingan mengurus perubahan transisi remaja dan menjauhi gejala yang tidak sihat termasuk menjauhi zina. Kami mengalu-alukan kerjasama dari semua sekolah, persatuan penduduk, masjid,badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk bekerjasama dengan kami menganjurkan kempen ini. Sejak ia dilancarkan pada tahun 2006, banyak sekolah , kolej dan IPT serta persatuan yang telah bersama kami menganjurkan program ini
  2. Modul Kesihatan Reproduksi Remaja (MKRR) - Modul ini dibangunkan oleh Raudhatus Sakinah Pusat untuk memberikan latihan yang lebih mendalam kepada remaja agar mereka dapat mengharungi cabaran kehidupan remaja dengan penuh kemahiran. Melalui modul-modul latihan yang boleh dipilih , program boleh disesuaikan kepada kumpulan sasaran yang berkenaan.
  3. Program Kemahiran Keibubapaan Efektif . Kita mendapati antara faktor yang penting dalam pembinaan remaja adalah dengan memberikan kesedaran dan kemahiran keibubapaan kepada ibubapa remaja. Beberapa modul telah kami bangunkan untuk memenuhi semua peringkat umur anak-anak kita.

RSK berazam untuk menyumbang dalam pembinaan generasi remaja yang mempunyai jatidiri ummah cemerlang melalui pembinaan iman dan taqwa kepada Allah Tuhan pencipta manusia itu sendiri. Hanya apabila terbentuknya masyarakat yang ibubapanya beriman dan anak-anak mereka terdidik dengan jatidiri muslim yang sejati barulah masyarakat dapat hidup aman sejahtera tanpa gejala sosial yang bobrok dan membelenggu mereka.

Wassalam

Dr Hafidzah Mustakim

JK Pendidikan RSK

CARTA ORGANISASI RSK

PENGERUSI RAUDHATUS SAKINAH KELANTAN(RSK)


DR ZAHARAH SULAIMAN



JAWATANKUASA PENGURUSAN


PUAN WAN AISHAH WAN IBRAHIM

DR HAFIDZAH MUSTAKIM

USTAZ AZIZEE ROHIM JAPRI

DR NORHANI ABD RANI

DR DIN SUHAIMI SIDEK

DR DASMAWATI MOHAMAD

DR MARYAM SUMAIYA AHMAD



PENGURUS



WARDEN



PENOLONG WARDEN